BERANI KELUAR DARI ZON SELESA ANDA SEKARANG

Repost dari Imam Muda

Minggu lalu, saya bertemu dengan seorang kenalan yang sudah lama menetap di China. Menjalankan perniagaan di negara yang mempunyai lebih daripada satu bilion penduduk membuatkan timbul rasa kagum terhadapnya.

Kagum bukan saja kerana keberaniannya menceburkan diri dalam bidang perniagaan di negara berkenaan, sebaliknya kerana lidahnya yang fasih bertutur bahasa pasar Kantonis yang diselang-selikan dengan bahasa Mandarin iaitu bahasa rasmi di China biarpun dia berbangsa Melayu.

Biarpun bahasa serta budaya masyarakat di sana jauh berbeza dengan budaya masyarakat di sini, kecekalan hatinya menarik minat saya.
Sudah menetap sembilan tahun di negara terbabit, saya kira beliau sekarang boleh tersenyum kerana sudah membina empayarnya sendiri di negara tembok besar berkenaan.

Lebih mengagumkan saya, beliau adalah majikan kepada beberapa pekerja yang juga rakyat negara berkenaan. Tentunya bukan mudah untuk menggaji pekerja yang bukan daripada bangsa sendiri, apatah lagi menjadi majikan di negara yang begitu asing.

Saya masih teringat ketika menjejakkan kaki di China pada tahun lalu, perkara yang menjadi masalah utama pada waktu ia adalah masalah komunikasi. Saya hanya ‘berbicara’ dengan peniaga menggunakan kalkulator. Namun saya bernasib baik kerana bertemu dengan penjual yang jujur.
Di China, jika tidak bernasib baik, kita terdedah dengan peniaga yang mengambil kesempatan terhadap orang luar. Terlalu banyak kes penipuan yang menjerat peniaga dari luar apabila bertandang ke negara itu yang boleh mengakibatkan kerugian besar. Semuanya bermula atau mungkin berpunca daripada masalah komunikasi.

Tetapi ia tetap membataskan ‘muamalat’ saya di sana kerana tidak dapat melakukan tawar menawar dengan penjual untuk mendapatkan harga terbaik akibat keterbatasan dalam soal komunikasi.
Berbalik kepada kisah yang berkisarkan mengenai kenalan saya tadi, usianya memang masih muda iaitu sekitar awal 30-an. Seperti yang saya nyatakan pada awal tadi, keberanian beliau dalam menjalankan perniagaan di tempat asing sewajarnya menjadi ikutan dan inspirasi kepada masyarakat di negara kita.

Kira-kira sembilan tahun dulu, beliau datang ke sana dengan misi yang sukar. Apatah lagi langsung tidak mempunyai asas percakapan dalam bahasa Mandarin atau Kantonis. Namun ia menjadi batu loncatan untuknya menghadapi situasi sukar itu.

Saya yakin tidak ramai dalam kalangan kita yang mempunyai visi dan misi berani seperti beliau. Setelah bertemu beliau, ia seakan-akan memberi satu tamparan kepada saya untuk ‘sedar’ daripada terus berada di zon selesa dan berani untuk menempuh sesuatu yang baru dalam hidup kita.

Pertemuan saya dan beliau juga datang pada masa yang amat tepat. Ini kerana ketika di ambang persiapan untuk membuka butik Muslim pertama saya atas nama Hassan Adli Boutique yang memberi pengkhususan kepada jubah lelaki moden, sebenarnya terlalu banyak bisikan negatif datang menghampiri.

Ketakutan serta bayangan kegagalan sering menjengah sepanjang proses saya menceburkan diri dalam bidang perniagaan ini. Saya juga percaya, dua faktor ini juga sering ‘mengikat’ kita untuk berada selangkah maju di hadapan.

Tradisinya, ramai yang memilih untuk mempunyai perasaan iri hati atau dengki apabila melihat kejayaan orang lain. Ada orang yang iri hati melihat orang memandu kereta mewah, tinggal di rumah mewah atau melancong ke luar negara.

Lantas, ia kemudian menimbulkan prasangka apabila hati dengan mudah membuat pelbagai andaian bahawa kesenangan atau kemewahan ‘orang kaya’ itu berpunca daripada sumber yang meragukan.

Namun tidak ramai yang memilih untuk melihat ‘jalan cerita’ sebalik kejayaan individu itu. Tidak ramai yang berminat untuk menyelami kesusahan dan jerih perih seseorang itu sebelum dia berada di tempatnya sekarang.

 
Ramai yang menginginkan untuk hidup selesa, tetapi tidak ramai yang berani untuk ‘terjun’ ke bidang sunnah perniagaan ini. Masakan perniagaan itu menjadi sunnah jika tidak diiringi pelbagai aral dan dugaan. Ia seakan menjadi resmi untuk diuji sebelum benar-benar mengecap kenikmatan daripada sunnah Baginda Rasulullah SAW ini.

Justeru, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa sembilan daripada 10 punca rezeki itu datangnya daripada perniagaan yang tentunya harus diperhalusi dan difahami.

Persediaan dari segi mental dan rohani perlu seiring jika berangan-angan ingin menjadi seperti Abdul Rahman bin Auf, sahabat Baginda yang kaya raya tetapi tetap tawaduk kepada Allah SWT.

Namun, satu perkataan yang amat penting yang boleh disimpulkan sebelum menceburi bidang perniagaan ini adalah ‘keberanian.’ Tanpa keberanian, lupakan saja angan-angan dan teruslah dibuai mimpi indah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/22

Daripada petikan artikel di atas, mieza sangat-sangat sependapat dengan beliau. Marilah kita sama-sama menjadi usahawan muda yang cepat tangkas mengambil peluang yang dah ada di depan mata sekarang. Hubungi mieza secepat mungkin sebab banyak peluang bisnes yang boleh anda ceburi & insyaAllah, semuanya dengan keizinan Dia yang maha Esa,maha pendengar, amin

With Love
Mieza Rahman
012-390 1317

Ulasan

Catatan Popular